ADA seorang lelaki datang bertemu Rasulullah s.a.w., lalu bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk aku hormati?
Baginda menjawab: Ibumu.
Lelaki itu kembali bertanya: Kemudian siapa?
Nabi menjawab: Ibumu.
Lelaki itu terus bertanya: Kemudian siapa?
Nabi menjawab lagi: Ibumu.
Sekali lagi lelaki itu bertanya: Kemudian siapa lagi?
Nabi menjawab pula: Kemudian bapamu.
(Hadis riwayat At-Tirmizi)
Islam sangat menyanjungi jasa seorang ibu. Kata-kata “kasih ibu membawa ke syurga” yang sering digunakan bagi menggambarkan kasih sayang seorang ibu, kesinambungan daripada sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Syurga di bawah telapak kaki ibu.” (Riwayat Imam Ahmad)
Islam juga meletakkan taraf seorang ibu pada kedudukan yang terpuji dan tertinggi bertepatan dengan peranannya sebagai daya kuasa pembina generasi pelapis ke arah generasi gemilang, cemerlang dan terbilang. Ibu di sisi Islam mempunyai kedudukan yang istimewa sehingga meletakkan hukum bagi mereka yang menderhaka ibu-bapa di antara dosa-dosa besar setanding dengan syirik kepada Allah, membunuh diri dan penyaksian palsu.
Rasulullah s.a.w, ketika ditanya mengenai amalan yang dicintai oleh Allah, maka baginda bersabda di antaranya ialah berbakti kepada ibu bapa, selain solat pada waktunya dan berjihad di jalan Allah. Pernah baginda menyuruh salah seorang sahabat baginda agar tidak menyertai perang jihad disebabkan beliau masih mempunyai ibu bapa kerana berbakti kepada kedua-duanya adalah juga dikira sebagai jihad.
Sememangnya tidak dapat dinafikan, walau jerih payahnya tanggungjawab, seorang ibu akan tetap tabah menghadapinya demi insan-insan tercinta. Kendatipun senonim dengan kata-kata “wanita itu kaum yang lemah.” Namun, selemah-lemah wanita, seorang lelaki yang gagah perkasa sekalipun tetap dilahirkan daripada rahim seorang wanita.
Seorang ibu juga sanggup mengorbankan apa sahaja demi anak-anak tercinta. Kisah Alqamah misalannya, menggambarkan betapa kasih ibu sangat mendalam sehinggakan ibunya tidak sanggup melihat anaknya menderita akan dibakar hidup-hidup walaupun telah berkecil hati kerana anaknya itu melebih-lebihkan isterinya daripada ibunya sendiri. Kerana tidak mahu melihat anaknya menderita ketika sakaratul maut, si ibu dengan rela hati memaafkan anaknya itu.
Pengorbanan seorang ibu sukar dibalas. Malah seorang wanita bergelar ibu tidak pernah meminta jasanya dibalas. Jika difikirkan sejenak, seorang ibu akan hanya dirai ketika hari lahirnya atau pada Hari Ibu yang disambut pada bulan Mei setiap tahun. Itupun jika disambut, memandangkan pada masa kini kemudahan teknologi telah mengambil alih aktiviti sosial manusia. Mungkin ucapan sahaja diberikan. Itupun melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau e-mail.
Bertitik-tolak daripada kenyataan ini, Anugerah Ibu Mithali diwujudkan sebagai wadah penghargaan kepada seorang ibu yang banyak berjasa terutama dalam usaha mendidik generasi akan datang. Anugerah ini telah diilhamkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), sebuah badan dakwah yang melihat bahawa penganugerahan ini sebagai suatu penghormatan terhadap ibu yang telah berjuang, melahir, mendidik, mengasuh dan membimbing anak-anak sehingga berjaya menjadi insan berguna kepada bangsa, agama dan negara.
Anugerah Ibu Mithali pertama kali telah diadakan pada tahun 1980 di Kuala Lumpur. Sehingga kini, seramai lapan orang ibu telah berjaya dipilih menjadi Ibu Mithali dalam tahun-tahun berikut:
1. Allahyarham Hjh. Enjah Mohd Arif (14 Disember 1980)
2. Hjh. Wan Mas Wan Ibrahim (16 April 1984)
3. Hjh. Wan Meriam Wan Ahmad (15 November 1985)
4. Allahyarham Hjh. Zabedah Hj. Shahid (20 Oktober 1988)
5. Hjh. Ayot @ Rokayah Rajak (25 Februari 1991)
6. Allahyarham Hjh. Maimon Abdullah (18 Oktober 1994)
7. Hjh. Kamariah Alang Mat Nasid (26 November 1999)
8. Hjh. Kalsom Abdullah (21 September 2002)
Anugerah Ibu Mithali ini juga bertujuan membuktikan bahawa pendidikan berlandaskan ajaran agama Islam dapat mencorak masa depan anggota masyarakat. Ia juga sebagai suatu wadah teladan kepada masyarakat dalam membimbing dan mendidik anak-anak sehingga dapat berbakti kepada bangsa, agama dan negara tercinta sekaligus memberi kesedaran kepada kaum wanita khasnya dan masyarakat amnya tentang peri penting tanggungjawab dan peranan seorang ibu dalam melahirkan generasi pelapis yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Pemilihan calon Anugerah Ibu Mithali yang diadakan ini dibuat melalui borang-borang yang dihantar kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan, persatuan agama, badan dan pertubuhan wanita, jabatan-jabatan agama, pejabat kerajaan, jabatan dakwah dan orang perseorangan. Kriteria pemilihan calon Ibu Mithali adalah:
1. Seorang ibu yang mempunyai sifat-sifat takwa dan pengorbanan dalam menjayakan cita-cita memperkembangkan Islam dan mempunyai ciri-ciri umul mukminah;
2. Ibu unggul dalam keluarga bahagia dengan suasana dan lingkungan kehidupan Islam;
3. Ibu yang mendidik anak-anaknya hingga dengan pendidikan itu, mereka dapat memberikan sumbangan baik kepada masyarakat;
4. Ibu yang terkenal dengan kebolehan dan berjasa kepada masyarakat sekitar.
Selain daripada itu, perkara-perkara berikut juga diambil kira dalam pemilihan tersebut:
1. Had umur mestilah 50 tahun ke atas;
2. Calon-calon hendaklah mempunyai anak yang masih hidup sekurang-kurangnya lima orang;
3. Kejayaan mendidik anak-anak dalam pelajaran keagamaan serta sumbangan anak-anak kepada masyarakat adalah diutamakan;
4. Sumbangan calon kepada masyarakat;
5. Keharmonian dalam kehidupan berumahtangga;
6. Penilaian dan tanggapan masyarakat terhadap ketokohan calon;
7. Perwatakan calon berdasarkan ciri-ciri keIslaman/ sifat-sifat takwa dan pengorbanan
8. Pendidikan yang diperoleh.
Jelas bahawa langkah yang diambil YADIM ini merupakan suatu pendekatan yang baik sebagai usaha mengenang jasa dan pengorbanan seorang ibu serta contoh teladan yang baik dan seharusnya dijadikan acara tahunan. Penganugerahan ini akan dilihat sebagai suatu penganugerahan yang tidak bermakna dan sia-sia sekiranya tidak diambil sebagai pedoman dan tauladan buat semua wanita yang bergelar ibu ataupun kepada sesiapa sahaja yang sedar betapa pentingnya peranan ibu sebagai teras pembangunan dan kemajuan bangsa.
Sememangnya di sebalik kejayaan, keunggulan dan kecemerlangan yang dimiliki bangsa, wujud suatu ‘kuasa’ pendorong, pengasuh dan pengiring yangmengiringkan doa restu yang tidak putus-putus yang menjadi antara sebab kejayaan, keunggulan dan kecemerlangan yang dimiliki itu.
Justeru, sebagai tanda rasa cinta dan kasih kepada insan yang bergelar ibu, marilah sama-sama kita berbakti kepada mereka, mengingati dan mentaati segala kehendak mereka, selagi tidak membawa kepada unsur-unsur maksiat, sekiranya ibu bapa kita masih hidup. Seandainya mereka telah meninggal dunia, doakan semoga Allah s.w.t merahmati dan mengampuni dosa mereka dan agar roh mereka bersama golongan yang soleh. Amin.
sumber :- NOORZIHAN MOHAMED YIN
p/s :- buat entry ni sbb dgr isu d hot.fm hot chat tentang si istri saman si suami sbb bawa ibu skali p bulan madu.. huhuhu..ada2 jew...
No comments:
Post a Comment