PULAU PINANG 22 Feb. - Keputusan berhubung permohonan supaya perbicaraan kes khalwat Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang, Adam Tumiran dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah akan diketahui pada 22 Mac ini.
Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah di sini, Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya bagi membolehkan Ketua Pendakwa Syarie, Mohd. Zulkhairi Aziz meneliti bantahan bertulis yang dikemukakan oleh peguam syarie Ahmad Munawir Abd. Aziz.
Dalam prosiding pada 31 Januari lalu, Mohd. Zulkhairi memohon supaya perbicaraan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Syariah atas alasan ia membabitkan pegawai kanan dalam perkhidmatan kehakiman.
Selain itu menurut beliau, pelbagai isu perundangan luar biasa yang memerlukan penafsiran undang-undang lebih mendalam akan dibangkitkan sepanjang perbicaraan.
Namun menurut Ahmad Munawir, kes itu sepatutnya kekal dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah kerana ia melibatkan pertuduhan khalwat biasa di bawah Seksyen 27 (a) dan 27 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Pulau Pinang.
Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Adam, 43, didakwa berkhalwat bersama pasangannya, Nurul Izani Md. Isa, 34, yang bertugas sebagai penasihat kewangan di Kuala Lumpur.
Mengikut pertuduhan, Adam dan Nurul Izani yang bukan mahram didakwa berada bersama-sama dalam keadaan yang menimbulkan syak kira-kira pukul 2.05 pagi, 5 Disember tahun lalu, di No. 18B, kuarters kerajaan negeri, Jalan Masjid Negeri di sini.
Adam yang memakai kemeja dan berseluar hitam serta Izani yang memakai baju kurung hitam serta bertudung merah jambu kelihatan tenang sepanjang perbicaraan dan tersenyum kepada petugas media yang menanti di mahkamah sejak pagi.
Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan Munawir supaya kedua-dua anak guamnya dikecualikan daripada menghadiri prosiding pada 22 Mac ini kerana faktor jarak dan masa ekoran Adam kini bertugas di Jabatan Kehakiman Syariah di Putrajaya.
sumber utusan online
No comments:
Post a Comment