edDy sYrOl

Monday, January 17, 2022

Bermula Tahun 2022

 Assalamualaikum w.b.t & Salam Sejahtera. 

Syukur Alhamdulillah majoriti daripada kita diberikan peluang untuk merasai pengalaman tahun 2022 setelah kita berjaya hadapi onak duri dan suka duka di tahun 2021. Sudah lama rasanya tidak menulis sesuatu di laman ini, ada sesuatu yang berbeza pula pada hari ini. Mungkin azam tahun ini untuk saya cuba mengemudi semula blog yang telah lama ditinggalkan. Kalau hendak dikatakan ianya disebabkan kesibukan rutin harian, mungkin tipu. Untuk menulis sesuatu di sini memerlukan satu suntikan semangat bagi saya, walaupun mungkin ianya hanya sebaris ayat. 

Seandainya ada yang membaca tulisan pertama di tahun baru ini, ingin saya menyapa anda. Apa khabar anda semua? Semoga anda dan saya juga bersemangat memulakan tahun baru. Dua hari lepas, saya telah menerima vaksin dos penggalak. Adalah juga rasa sakit badan dan pening kepala sedikit. Bagaimana dengan anda? Jika anda telah menerima temu janji untuk menerima suntikan vaksin, pergilah. Inilah salah satu ikhtiar yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan kesan bahaya Covid-19. Mungkin ada sesetengah orang di luar sana yang berpandangan pemberian vaksin adalah sesuatu yang sia-sia, saya biarkan anda dengan pandangan anda. Bagi yang sependapat dengan saya, mohon agar kami diberikan pilihan untuk menentukan jalan hidup kami. Harap semuanya faham dengan penyataan ini. 

Bagaimana anda memaku resolusi tahun 2022? Sukar tidak? agak mencabar sebenarnya sebab saya inginkan banyak perkara yang lebih baik dari tahun 2021. Saya memikirkan perlunya untuk mencabar diri dan keluar dari comfort zone yang mana mungkin sebelum ini membuatkan saya rasa keterbelakang. Yang pasti, banyak yang ingin saya lakukan demi kesihatan fizikal dan mental. Di usia yang telah menjejak pertengahan 30an ini, kesihatan adalah perkara yang peling penting demi kelangsungan hidup. Cuba anda bayangkan duit simpanan banyak tetapi diuji dengan kesihatan fizikal dan mental yang tidak mengizinkan untuk kita beraktiviti dengan aktif, bukankah ianya sesuatu yang sangat menduga. Semoga Allah s.w.t mengurniakan hidup kita dengan jalan yang dipermudahkan. Amin. 

Apa pun yang anda ingin capai pada tahun 2022, ingatlah bahawa kita berjalan atau berlari dengan kemampuan kita. Tidak salah untuk menginspirasikan orang lain namun kita masih punya kaki yang boleh menampung keupayaan kita, bukan atas kepantasan yang orang lain gambarkan. Maka, ingatlah perjalanan hidup bukanlah satu perlumbaan. Kalau anda lihat sekeliling ada yang berlumba, tidak mengapalah. Itu mereka dan anda adalah istimewa. Lakukan sesuatu ikut keupayaan anda. Ingatlah bahawa progress happens in layers. Tidak hari ini, mungkin esok anda akan mencapainya. Selamat maju jaya untuk semua. 

syrol (17/01/2022, Selangor)

No comments: