edDy sYrOl

Thursday, January 20, 2022

Cerita Mencari Kerja

 Assalamualaikum w.b.t & Good Day!!

Tiada kata yang boleh diucapkan selain bersyukur diatas peluang yang diberikan kepada kita untuk terus boleh menjalani kehidupan di muka bumi ini. Hari ini, saya ingin berkongsi sedikit cerita mencari kerja bagi kalian-kalian yang masih bergelut untuk mendapatkan pekerjaan yang baik. Konotasi "baik" disini adalah subjektif contohnya bagi saya "baik" adalah boleh menampung kehidupan harian saya termasuk hutang piutang dan boleh ada simpanan serta masih berbaki sedikit sebelum gaji seterusnya diterima. Yang paling penting, masih boleh memberi sedikit kepada orang tua sekiranya mereka masih ada. 

Kali pertama saya mendapat pekerjaan tetap adalah pada usia 24 tahun sebagai eksekutif pemasaran di sebuah syarikat yang menjual produk kesihatan. Pada waktu itu, syarikat tersebut memang sangat terkenal di Sabah pada waktu itu. Hampir semua daerah cawangan dibuka. Saya pun tidak pasti apa yang menyebabkan kejatuhan syarikat tersebut sebab semua produk yang dihasilkan memang Alhamdulillah memberikan kesan positif kepada pengguna. Kembali kepada cerita perihal kerja, saya hanya bertahan selama sebulan sahaja disyarikat tersebut. Surat perletakan jawatan saya berikan dengan tempoh 24jam beberapa hari sebelum habis bulan. Apa yang membuatkan saya berhenti adalah pada ketika itu saya tidak rasa pekerjaan tersebut 'baik' untuk saya (pada waktu itu). Malah boleh saya katakan saya tidak mampu menggalas tugas yang diberikan kepada saya dengan baik. Oleh itu, memikirkan daripada saya tersiksa secara mental pada ketika itu dan tidak gembira dengan pekerjaan saya, maka saya berhenti kerja. Balik ke kampung dan bermulalah hidup sebagai job hunter. Gaji saya pada ketika itu adalah RM1,200.00 (sebelum tolak KWSP dan SOCSO). 

Bermula dari tarikh saya berhenti kerja, saya memohon berpuluh-puluh pekerjaan setiap tahun. Di awal pencarian, saya memang agak memilih dengan jenis pekerjaan yang ditawarkan kerana telah berpengalaman sebelum ini dengan pekerjaan yang tidak sesuai dengan jiwa saya. Walaubagaimanapun, setelah setahun sebagai pencari kerja, saya mula rasa putus asa dengan sikap memilih. Maka, bermulalah pula misi baru mencari pekerjaan yang penting ada sumber pendapatan. Namun pada masa yang sama, saya ada buat sedikit kerja sambilan di kampung. 

Saya masih ingat, semua kerja saya pohon daripada jawatan kerani di syarikat swasta sampailah kepada jawatan Pegawai Tadbir & Diplomatik (PTD). Boleh dikatakan hampir setiap tahun juga saya dapat panggilan menduduki peperiksaan kemasukan untuk jawatan PTD sehinggalah tahun 2015, tapi semuanya tak berjaya. Kurang persiapan mungkin dan salah sendiri. Pelbagai organisasi dan syarikat saya hadiri untuk temuduga tetap tidak berjaya. 

Sehinggalah pada suatu hari, bulan Januari ketika usia saya dah masuk 30 tahun, seorang kawan kata ada kekosongan jawatan di organisasi X. Dia minta saya hantar resume. Saya masih ingat kawan saya Azizul yang tolong betulkan presentation resume saya. Alhamdulillah, dua kali peringkat temuduga saya hadiri dan kedua-dua temuduga dilakukan di Putrajaya. Saya diterima bekerja. Bermulalah perjalanan hidup saya di tempat baru, jauh dari keluarga. Dalam usia sudah 30 tahun ya sedangkan kawan-kawan yang lain ramai telah bekerja di usia pertengahan 20an. 

Sepanjang saya mencari pekerjaan tetap, saya ada bekerja sebagai guru ganti dan pensyarah sambilan dengan gaji yang biasa-biasa sahaja. Tetapi kedua-duanya adalah pekerjaan yang saya enjoy lakukan. Struggle? sudah tentu. Dalam situasi bertahun-tahun tidak memiliki pekerjaan tetap, gaji sebagai pensyarah sambilan pula tiada caruman EPF. Maka saya boleh katakan yang saya bermula membina kerjaya pada usia 30 tahun. Walaupun kelihatan sedikit lewat, tidak mengapa. Kita semua berjalan dengan kelajuan kita masing-masing. Tiada pemenang dan tiada pengalah dalam hal ini. 

Sedikit tips mencari kerja dari saya. 

1. Sebagai permulaan, grab sahaja apa pun peluang pekerjaan yang ada untuk timba pengalaman dan menampung kehidupan anda ketika belum mempunyai kerja tetap dan kerja yang diidamkan.

2. Teruskan mencari kerja yang 'baik' untuk anda. 

3. Ambil kira faktor geografi, pertimbangkan keupayaan anda menghadapi tempat baru.

4. Sediakan resume yang terbaik dan boleh terangkan siapa anda dan apa skills yang anda ada. 

5. Persiapkan diri dengan kemahiran komunikasi kerana ianya sangat membantu ketika temuduga.

6. Percaya pada Sang Pemberi Rezeki!


Semoga yang sedang berusaha mencari pekerjaan yang 'baik' akan dipermudahkan urusan. 

No comments: