edDy sYrOl

Thursday, January 27, 2011

Dua remaja didakwa bunuh datuk


JEMPOL 26 Jan. - Dua remaja lelaki hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bahau atas tuduhan membunuh seorang warga emas dan mencederakan isteri mangsa di Felda Palong Dua di sini pada pertengahan bulan ini.

Bagi tuduhan pertama, kedua-dua tertuduh berusia 17 tahun itu didakwa membunuh Mohtar Yusoh, 71, di alamat No. 305, Blok C Palong Dua, Felda Palong Dua pada pukul 8 malam, 13 Januari lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Salah seorang tertuduh merupakan cucu kepada mangsa. Kedua-dua tertuduh yang tinggal di Melaka hanya mengangguk sebagai tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ellyana Razali.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan. Kedua-dua remaja itu turut menghadapi tuduhan kedua iaitu mencederakan isteri mangsa, Halimah Yasin, 57, pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda, sebatan atau mana-mana dua hukuman itu. Bagi tuduhan kedua ini, mereka berdua masing-masing mengaku tidak bersalah.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mahmud Abdullah manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Ellyana menetapkan 28 Februari ini sebutan semula kes itu dan tiada jaminan dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh.

Memetik laporan akhbar, pada hari kejadian, suami isteri itu disamun empat remaja ketika pulang ke rumah mereka diFelda Palong Dua selepas majlis tahlil. Mohtar mati ditikam salah seorang remaja terbabit yang memecah masuk rumah mereka manakala isterinya dicederakan dengan objek keras sehingga menerima 30 jahitan di bahu, dada dan lengan. Mereka melarikan beg milik Halimah, berisi wang tunai dan barang kemas bernilai lebih RM10,000.

No comments: